Mesut Ozil atau nama manjanya Mat Ozil merupakan seorang remaja yang kental. Dia seorang lepasan SPM 2010 dan dia juga bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Dia mendapat tajaan penuh untuk melanjutkan pelajaran ke sana kerana dia telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPMnya.
Dia sangat bersyukur dengan nikmat yang telah diperoleh olehnya itu. Dalam kesyukurannya itu terselit satu bebanan untuknya. Ya, bebanannya untuk berjuang di medan pembelajaran dan alam pekerjaan yang amat getir di rasakan.
" Tak apa, ini semua buat ummah, ini semua buat Islam dan inilah medan juangku untuk Islam. Sumbangan apa lagi daripadaku yang boleh ku beri buat Islam. Ini sahajalah yang ku mampu juangkan". Dengus hati Mat Ozil.
Ramadan tiba
Mat Ozil bukanlah berasal daripada keluarga yang 'berada' tetapi hanyalah sederhana. Namun begitu, ayahnya sering mengajarnya hidup seperti cara hidup orang susah. Didikan itu telah sebati baginya sehingga kini.
Malam itu, selepas pulang solat terawih, dia menghidupkan suis televisyen dan menontonnya. Sejak masuk ke dalam bulan Ramadan, inilah kali pertama dia menonton televisyen. Katanya, mahu menjaga pandangan. Bukan sahaja televisyen, bazar Ramadan pun belum dia kunjungi.
"Biarlah ruh Ramadan kali ini benar-benar menyelinap kekal dalam jasadku walaupun terpaksa bermujahadah. Mujahadah itukan sememangnya pahit, pasti ganjarannya nanti manis!" Jerit batinnya untuk memujuk diri.
Tanpa berlengah, dia membuka channel TV 99. Ya, dia gemar menonton di saluran itu. Banyak program ilmiah yang disiarkan berbanding channel lain yang banyak melalaikan.
Kebetulan ketika itu, program 'Tanyalah Ustaz Ini ' berlangsung. Dia amat meminati program itu. Sementelahan, Ustaz Nicholas Anelka pula yang sedang berceramah pada waktu itu. Ramai yang kata Ustaz Nicholas Anelka tu tak handsome sebab kulitnya hitam. Bagi Mat Ozil, biarlah kulitnya hitam sekali pun, tetapi ilmunya yang tebal itu mampu memutih bahkan mensucikan hati insan lain.
Tajuk malam tu ialah berkenaan dengan Sedekah. Dalam program tu, Ustaz Nicholas Anelka ada menyebut satu ayat daripada al-Quran dan menghuraikan dengan baik dan lunak sekali.
Ini ayatnya :
"Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan pada setiap tangkai pula ada 100 biji. Allah melipatgandakan ganjaran sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 261)
Setelah menghurai ayat itu, dia jadi tertarik sekali dengan amalan sedekah. Sebelum ini amalan sedekah dia taklah berapa 'menjadi', hanya suam-suam suku sahaja.
Ustaz Nicholas Anelka juga menceritakan satu kisah seorang pemimpin Islam yang A'lim pada suatu masa dahulu. Pemimpin Islam itu memegang jawatan sebagai seorang qadi di sebuah negara Islam yang kaya raya ketika itu. Gajinya juga tersangatlah lumayan, lagi lumayan dari gaji seorang Perdana Menteri sekarang ini. Namun apa yang special, gaji yang banyak itu, dia langsung tidak gunakannya. Bahkan, beliau menghabiskan semuanya melalui sedekah kepada golongan-golongan yang memerlukan.
Beliau berbuat demikian kerana beliau sangat yakin Allah akan membalas kepadanya dengan ganjaran yang lebih besar buatnya. Apa yang diyakinkan beliau tu, sememangnya terjadi. Setelah beliau solat malam ( qiamullail ) , terdapat banyak duit yang berada di bawah sejadahnya. Orang lain yang tahu cerita mengenai beliau, cuba meniru beliau, namun tidak menjadi, gara-gara mereka tidak yakin sepenuhnya kepada Allah dan masih ada sisa-sisa keraguan kepada kuasa Allah.
Mendengar kisah itu, Mat Ozil tambah bermotivasi. Dia tekad untuk banyakkan amalan sedekahnya. Tak lama kemudian, dia pergi pula mengadap laptop ayahnya. Seperti biasa, mahu lihat-lihat apa yang terbaharu di Facebook. Dia gemar meneliti status-status ilmuan Malaysia yang telah dia 'like' fan page mereka sebelum ini. Kebanyakan status facebook para ilmuan ini penuh ilmiah, tak kiralah pandangan mereka atau perkongsian ayat al-Quran atau hadis.
Setelah diteliti, satu status telah menarik perhatiannya. Perkongsian mengenai satu hadis Rasulullah S.A.W. Satu hadis berkaitan dengan sedekah telah di kongsi di status facebookUstazah Aminah Gomez. Bunyinya begini :
"Sedekah yang paling afdhal (baik) adalah sedekah yang dikeluarkan dalam bulan Ramadan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Jika tadi sudah bermotivasi untuk bersedekah, kini betambah-tambah motivasi lagilah dia setelah membaca hadis sahih daripada Rasulullah S.A.W itu.
Pagi itu dia bercadang untuk pergi ke Pasar Tani di pekan. Dia mahu membeli barangan-barangan keperluan lain yang masih tersisa untuk dibawa bekalan ke Mesir nanti. Sambil dia membeli, dia juga sebenarnya mendengar Kuliah Agama yang dilangsungkan di tengah kesibukan orang berniaga. Kuliah Agama itu telah beberapa tahun bertapak di situ sejak kerajaan negeri bertukar tangan. Itu satu usaha yang baik daripada pihak kerajaan dalam mengilmukan rakyatnya. Bukan hanya membiarkan rakyat dungu dan jahil dalam ilmu agama.
Kelihatan ramai sungguh peniaga pada hari itu. Maklumlah, dah nak raya. Dalam lamunan mendengar Kuliah Agama itu, dia kaget. Terkesima sebentar.
" Ish, selama aku datang ke pasar ni, tak pernah pulak aku beri sedekah kepada peminta-peminta sedekah dekat pasar ni. Rasanya, kini tibalah masanya untuk aku hulurkan sedikit duit setakat yang termampu. Mana tahu, dengan duit aku itu, mereka boleh beli juadah untuk berbuka. Kan besar pahalanya tu" Rungut hati Mat Ozil setelah melihat beberapa orang peminta sedekah dan beberapa buah tabung besar di Pasar Tani itu.
Dia sengaja memecahkan duitnya untuk diberi sedekah kepada semua peminta sedekah itu. Saat itu, dia sungguh yakin bahawa Allah akan membalas amalan sedekahnya itu dengan sesuatu yang lebih baik. Dia berazam untuk berikan RM 1 kepada setiap peminta sedekah dan setiap tabung yang diletakkan di Pasar Tanii itu.
Segalanya berjalan dengan baik. RM 1 di masukkan dari satu tabung ke satu tabung dan daripada seorang peminta sedekah ke seorang peminta sedekah. Namun, ada sesuatu yang tak dirancang berlaku. Ianya berlaku dibawah sedar. Memang tidak sedari langsung. Tersangatlah tidak sengaja.
Dalam kelancaran Mat Ozil menghulurkan sedekahnya, tiba-tiba apabila datang kepada seorang peminta sedekah yang cacat, dia 'ter'masukkan duit RM10 ke dalam balang coklat yang digunakan peminta sedekah itu untuk meminta sedekah.
Pada mulanya dia langsung tak sedar bahawa duit yang dia masukkan itu duit RM10. Namun setelah melangkah selangkah daripada peminta sedekah itu, dia terpana. Tersedar.
" Aduh, macam mana pulak boleh masuk duit RM10 pulak ni. " Sambil menggaru kepalanya yang tak gatal.
Budget Mat Ozil untuk membeli barangan lain terus tersasar jauh kerana dia bukanlah seorang yang punya banyak wang. Hanya bawa sekadar 'cukup-cukup' sahaja.
" Ish, takkan nak ambil balik,nanti tak pasal sahaja kena pukul dengan orang ramai sebab kata aku ni pencuri. Huh, bahaya" Fikir Mat Ozil.
Tanpa menunggu lama, dia beredar dari Pasar Tani itu dek kehabisan wangnya.
" Tak apalah, mungkin itu rezeki dia. Semuanya sudah ditentukan oleh Allah. Dalam rezeki kita, tak semestinya semua itu habuan kita, mungkin juga dalam rezeki kita tu, ada rezeki orang lain. Ah, redha saja. Ikhlaskan hati, yakin sahaja ada balasan lain yang lebih besar yang menanti di hadapan. Ya, yakin! "
Dia terus menunggang motosikal ayahnya itu pulang ke rumah. Dalam hatinya asyik teringatkan kisah yang terjadi di Pasar Tani tadi. Kerap benar menyinggah di mindanya.
Segalanya daripada Allah
Selang sehari selepas itu, permohonannya untuk mendapatkan sedikit bantuan, berupa sedikit wang daripada satu badan kebajikan ditolak. Wang itu mahu digunakannya untuk membeli barangan keperluannya untuk berangkat ke bumi Mesir nanti. Namun, dia redha. Mungkin ada orang yang lebih berhak terhadap wang itu.
Dia tidak menyepi memasrah diri. Dia usaha dan terus berusaha. Membuat surat itu dan ini. Memanjat pelbagai syarikat untuk meminta sedikit dana. Dia tahu dia dah banyak susahkan ibu bapanya dan dia mahu berusaha sendiri kali ini.
Teringat dia dengan ayat 1000 dinar yang selalu dia amalkan selepas solat. Dia sedar, dia harus yakin sungguh dengan Allah!
"Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar( dari perkara yang menyusahkannya). Serta memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan( ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepadaAllah, maka Allah cukuplah baginya ( untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." ( Surah At-Talaaq, ayat 2-3 )
Keyakinan berbuah
Sesungguhnya, tidak lama selepas itu, rezeki dia melimpah ruah. Bukan sahaja cukup, bahkan lebih! Syukur, alhamdulillah!
Dana yang terkumpul dulunya dari kosong sekarang melopong melihatnya. Macam tidak percaya pula di rasakan. Hebat !
Bukan itu saja, rezeki dia bertambah lagi apabila dia menang pula pelbagai hadiah setelah memenangi pertandingan " Jangan Lupa Ayat al-Quran " di Radio ibnuddin.fm . Subhnallah, memang tak terkata. Terkesima entah bagaimana.
Yakinlah!
"Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan akan dikalungkan kelak di lehernya pada hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Ali 'Imran: 180)
"Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: "Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?" ( Surah al-Munafiqun : 10 )
Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
"Harta tidak akan berkurang dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kewibawaan baginya." (HR. Muslim)
Jangan bakhil. Yakinlah dengan balasan Allah! Sesungguhnya Allah tidaklah menyalahi janji. Percayalah. Jangan takut untuk sedekah saudara-saudaraku.
Seronoknya sedekah!